IPOH – Program Vaksin Perak (PVP) atau Silver Vax yang dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Majuperak Holdings Berhad (MHB) akan diperluaskan lagi dengan membuka beberapa buah pusat penerimaan vaksin (PPV) yang berada di luar Ipoh.

Ketika ini proses vaksinasi hanya di PPV Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di sini sebelum cadangan untuk membuka sebuah lagi PPV di Silveritage Medan Gopeng.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Nizran Noordin berkata, Teluk Intan dan Taiping merupakan lokasi PPV Silver Vax yang berada dalam perancangan bagi meluaskan lagi program PVP tersebut.

Bagaimana pun katanya, pelaksanaan itu bergantung kepada permintaan selain bekalan vaksin yang diterima.

“Kita menerima respons yang positif apabila sebanyak 150 syarikat swasta berminat untuk mendapatkan vaksinasi.

“Kesemua syarikat berkenaan terdiri daripada pelbagai sektor industri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” ujarnya kepada pemberita pada hari pertama Program Silver Vax di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di sini.

Operasi hari pertama ini melibatkan para penerima vaksin yang terdiri daripada kakitangan MHB dan beberapa syarikat swasta.

Sebanyak empat stesen vaksin Covid-19 disediakan yang diuruskan kira-kira 100 kakitangan serta petugas kesihatan pusat perubatan tersebut.

Silver Vax merupakan program vaksinasi berbayar khusus untuk syarikat swasta dan korporat dengan mengenakan caj sebanyak RM388 bagi setiap kakitangan.

Dalam pada itu kata Nizran, inisiatif yang dijalankan di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan sebagai PPV merupakan usaha dalam membantu mempercepatkan capaian imuniti berkelompok disasarkan kerajaan negeri.

“Selain syarikat korporat, PVP yang bermula hari ini juga memberi tumpuan pada industri pembuatan, perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Kita menyasarkan kira-kira 300 penerima vaksin sehari bagi tempoh empat bulan bergantung kepada permintaan,” ujarnya.