IPOH - Seramai 1,116 anggota tentera di negeri ini telah diberikan suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di Kem Syed Putra di sini.

Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd), Brigadier Jeneral Mohd. Azmurin Mat Khalib berkata, proses vaksinasi tersebut telah diadakan pada 26 hingga 28 Julai lalu itu turut melibatkan dua ahli keluarga tentera dan tiga orang awam.

Menurut beliau, seramai 55 anggota pelbagai kor terbabit dalam penugasan itu yang terdiri daripada  Kor Kesihatan DiRaja dan Kor Polis Tentera Diraja serta petugas tambahan daripada 2 RRD.

"Penerima keseluruhannya adalah anggota dan keluarga 2 Bgd selain terdapat juga anggota briged dan pasukan lain di Perak yang tidak dibenarkan balik untuk rentas negeri ke negeri tempat bertugas.

"Program vaksinasi dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut tatacara yang sewajarnya serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan," ujarnya.

Kata Mohd. Azmurin, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan vaksinasi di ppv tersebut semasa melakukan tinjauan khususnya kompetensi semua warga 2 Bgd yang terbabit dalam tugasan itu.

"Perkara ini bertepatan dengan tonggak ketiga perintah ulung Panglima Tentera Darat ke-28 iaitu pelestarian kesejahteraan warga.

"Ia menitikberatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan kendiri anggota selain dapat mengekang jangkitan Covid-19," ujarnya.