IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa prihatin dengan usaha dan tanggungjawab yang dilaksanakan petugas barisan hadapan bagi mengekang Covid-19 daripada terus menular dalam kalangan masyarakat. 
 
Justeru, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman turun padang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta bagi menyantuni petugas barisan hadapan, hari ini. 
 
Beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan minuman supaya petugas-petugas terbabit.
 
"Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan meninjau proses vaksinasi membabitkan kira-kira 3,000 orang awam yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan penjawat awam di sekitar kawasan Hulu Kinta. 
 
"Pada masa sama, saya berkesempatan berkongsi rezeki bersama petugas di sini dengan memberi sumbangan berupa bentuk makanan dan minuman supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih fokus dan baik," jelasnya. 
 
Katanya, inisiatif PPV Klinik Briged Utara ini adalah usaha yang baik dalam membantu mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat supaya hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dapat direalisasikan. 
 
"Saya berharap sumbangan kecil itu dapat menyuntik semangat kepada petugas barisan hadapan untuk terus berkhidmat melawan pandemik Covid-19," ujarnya. 
 
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged PGA merangkap Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.