Program ‘Outreach’ PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta santuni masyarakat Tionghua
- Details
- Komuniti
- Hits: 737
IPOH – Program ‘Outreach’ Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menyantuni masyarakat Tionghua dengan memberikan suntikan vaksinasi kepada golongan rentan dan warga emas di 10 rumah sekitar Kampung Baru Kuala Kuang Chemor, hari ini.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz; Timbalan Komander Briged Utara, Mohd Noh Khamis; Pengerusi Yayasan Nur Aiman, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Kuang, Chong Chin Lee turut bersama-sama turun padang pada program tersebut.
Azizul Kama berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan program tersebut di kawasan komuniti lain di bawah Zon 5 pada masa akan datang.
“Saya berhasrat untuk meneruskan program seumpama ini di kawasan komuniti lain, kemungkinan di komuniti India dan sebagainya dalam kawasan Zon 5 di bawah jagaan saya.
“Justeru, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan PPV Klinik Briged Utara yang bertungkus lumus dalam membantu merealisasikan program ini agar imuniti berkelompok dapat dicapai seperti yang disasarkan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Noh berkata, pihaknya akan terus memberikan vaksinasi kepada kepada golongan yang memerlukan supaya negeri ini dapat mencapai sasaran dalam tempoh terdekat.
“Selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ kita akan terus berusaha membantu masyarakat terutamanya mereka yang tidak berupaya untuk ke PPV bagi mendapat suntikan vaksin di rumah masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Chin Lee turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam pemberian vaksin pada hari ini.
“Walaupun polis selalu bertugas untuk menangkap penjenayah namun hari ini mereka pergi dari rumah ke rumah membantu masyarakat Tionghua yang memerlukan untuk memberikan suntikan vaksin kepada mereka. Polis PGA Ulu Kinta memang terbaik,” ujarnya.
Selain warga emas dan golongan rentan, ahli keluarga mereka turut menerima suntikan vaksinasi dos pertama pada hari ini.
Hadir sama pada program tersebut Pegawai Kebajikan Briged PGA merangkap Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.