Isu banjir kilat lebih 20 tahun bakal selesai
- Details
- Komuniti
- Hits: 736

IPOH - Lebih 20 tahun penduduk di Medan Desa Perpaduan (MDP) Villa di sini, terpaksa berhadapan dengan masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Menyedari perkara itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan projek pemasangan pam di kawasan berkenaan untuk mengatasi masalah tersebut.
Ketua Kampung MDP Villa, Azizi Junit berkata, dia yang tinggal kira-kira 22 tahun di kawasan tersebut terpaksa berdepan masalah sama setiap kali hujan lebat berlaku.
"Sejak tinggal di sini hingga sekarang masalah banjir kilat berlaku saban tahun dan kami sudah tidak mampu berdepan masalah ini.
"Antara kejadian banjir paling buruk berlaku adalah pada tahun 2000. Ketika itu air naik sehingga mencecah paras lutut manakala pada tahun lalu, berlaku banjir lumpur di sini," jelasnya.
Azizi berkata, pemasangan pam ini diharap dapat membantu sistem saliran berjalan dengan lancar sekali gus menyelesaikan masalah takungan air yang menjadi punca banjir kilat.
"Terima kasih diucapkan kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang prihatin di atas permasalahan ini," katanya ketika ditemu bual Peraktastic di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Bandar Baru Putra, Shamsul Redzuan Mohd Noor turut mengucapkan terima kasih kepada MBI yang menyediakan pam khas ini bagi mengatasi masalah tersebut.
"Setiap kali hujan lebat, ahli JPP akan bersiap sedia menunggu di kawasan longkang besar ini berkhemah bersama-sama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu masyarakat setempat," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata kawasan ini adalah jalan penghubung antara MDP Villa dan Bandar Baru Putra.
Katanya, pembinaan pam ini amat membantu dalam menyelesaikan isu banjir kilat yang membelenggu hidup penduduk setempat.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pemasangan pam itu yang hampir siap sepenuhnya di sini bersama Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Kerja dan Operasi MBI, Arif Mohd Zainudin.
Projek yang bermula 2 Ogos lalu memperuntukkan kos keseluruhan bernilai RM48,690.