IPOH - Kebanyakan pengusaha restoran dan kedai makan sekitar bandar raya ini masih tidak jelas berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diikuti berikutan kebenaran 'dine in' atau membenarkan pelanggan makan di premis mereka mulai semalam.
 
Berikutan itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun mengambil inisiatif untuk memberi pencerahan mengenai SOP kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Koo Soo Sun Heng Hong, Ipoh (Restaurants & Teashops) di sini, hari ini. 
 
Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah membenarkan pelanggan untuk 'dine in' namun pengusaha restoran bimbang risiko melanggar SOP yang ditetapkan disebabkan kurang jelas dan maklumat berhubung perkara tersebut. 
 
"Pengusaha restoran yang ditemui pada hari ini meluahkan rasa bimbang akan risiko jangkitan jika premis mereka dibuka kepada pelanggan memandangkan mereka masih tidak jelas terhadap SOP yang perlu diikuti. 
 
"Selepas mendengar luahan mereka, saya memberikan maklumat terkini, nasihat dan kaedah penyelenggaraan yang betul supaya perniagaan mereka dapat dijalankan mengikut ketetapan SOP," jelasnya. 
 
Wai Mun berkata, maklumat yang diterima mereka pada hari ini akan disampaikan kepada pemilik restoran dan kedai makan yang terbabit. 
 
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Koo Soo Sun Heng Hong, Chan Kam; Setiausaha, Chooi Chak Lim; AJK Toong Tuck Wei dan Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 11 (Bercham), Cheng Ming Tat.  
 
Ahad lalu, kerajaan mengumumkan kelonggaran SOP dengan membenarkan individu yang sudah lengkap divaksin untuk 'dine-in' atau makan di restoran bermula Selasa.
 
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kebenaran ini hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara dan seterusnya.