IPOH - Lions Club of Perak Silver State (LCPSS) menyasarkan untuk menanam 100 pokok menjelang akhir tahun ini bagi membantu menyerap karbon dioksida dari udara dan menyederhanakan suhu di sekitar bandar raya ini.

Presidennya, Dr Richard Ng berkata, kempen ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang membekalkan pokok-pokok teduhan untuk ditanam di kawasan yang bersesuaian.
 
Katanya, mengikut rekod, di Ipoh terdapat kira-kira 200,000 pokok pelbagai spesis. 
 
Beliau yang juga Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji) berkata, setakat ini LCPSS telah menanam 28 pokok di padang awam dan sekolah yang memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk di Ipoh. 
 
"Kempen tersebut selaras dengan objektif MBI untuk menanam 1,500 pokok sehingga hujung tahun ini supaya misi menjadikan Ipoh sebagai Bandar Rendah Karbon 2030 tercapai," katanya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Richard ditemui pada sidang media selepas menghadiri program Hijaukan Bumi Selamatkan Generasi Akan Datang dan Kibar Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Micheal Ipoh (SMI) di sini. 
 
Hadir sama, Penasihat Hal Ehwal Komuniti Cina Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Leong Cheok Keng; Ahli Majlis MBI Zon 8 (Kepayang), Mohammad Iskandar Abdul Rahman dan Pengetua SMI, Sit Wai Yin serta Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 8 (Kepayang) dan Zon 14 (Pasir Pinji). 
 
Pada program itu, sebanyak empat pokok teduhan iaitu pokok Mempari dan dan pokok Batai Laut (Yellow Flame) ditanam di padang sekolah berkenaan lengkap dengan kod QR bagi membolehkan pelajar untuk melihat informasi berhubung pokok tersebut.
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menyeru supaya rakyat menanam semangat patriotisme dalam diri masing-masing dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan ini. 
 
"Hari ini kita pasang 20 Jalur Gemilang di hadapan SMI. Justeru, kita berharap bangunan, pejabat, premis perniagaan dan rumah dihiasi Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat cintakan negara," ujarnya.