IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menjalankan kajian semula ke atas lapan medan selera yang tidak aktif serta terbiar sekitar di bandar raya ini bagi meningkatkan imej dan menawarkan keselesaan kepada pengunjung. 
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, pihaknya sedang giat membuat pemerhatian dan seterusnya menjalankan kajian semula bagi mengatasi masalah berkenaan. 
 
Menurutnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan medan selera berkenaan berada dalam situasi terbabit. 
 
"Antara punca medan selera ini tidak aktif serta terbiar adalah disebabkan persaingan daripada kedai baharu yang muncul sehingga menyebabkan premis terbabit suram dan gagal menarik pelanggan. 
 
"Keduanya, daripada segi infrastruktur dan seterusnya adalah perubahan selera pengunjung yang kini lebih mementingkan keselesaan seperti makan di dalam premis dilengkapi air cond (pendingin hawa)," katanya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa MBI akan cuba mengubah konsep medan selera yang terkesan supaya menjadikannya lokasi tarikan baru dan tempat tumpuan pelancong. 
 
Mengikut rekod, terdapat 19 medan selera dan empat Dataran Niaga milik MBI dengan 423 peniaga di sekitar bandar raya ini. 
 
Terdahulu, Rumaizi meluangkan masa meninjau lima medan selera dan dataran niaga yang dikenal pasti tidak aktif dan terbiar di sekitar Ipoh. 
 
 
Lokasi tinjauan tersebut adalah Medan Selera Greentown; Dataran Niaga Taman Pertama; Medan Jalan Jelapang/Silibin; Medan Selera Taman Meru dan Medan Selera Tambun. 
 
Tinjauan itu turut dihadiri Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman dan Ketua Jabatan MBI.
 
Sementara itu, seorang peniaga makanan dan minuman di Medan Selera Tambun, Aziah Mat Rawi, 53, berharap premis perniagaan tersebut dapat dinaik taraf supaya pelanggan dapat menikmati juadah dengan lebih selesa. 
 
"Di sini cuma tiga kedai makan sahaja yang berniaga termasuk kedai saya. Pelanggan masih ada cuma perniagaan sedikit merosot akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya yang berniaga di medan selera tersebut sejak tiga tahun lalu.
 
Dia berharap agar kemudahan tandas di bina di premis berkenaan bagi kegunaan peniaga dan pelanggan.
 
"Selain itu, saya mohon supaya pokok besar di hadapan medan selera ini diselenggara kerana dahan dan ranting dari pokok-pokok tersebut akan jatuh menimpa bumbung kedai setiap kali angin kuat dan hujan lebat. Perkara ini sangat membimbangkan dan membahayakan peniaga serta pelanggan yang berkunjung ke sini," ujarnya.