IPOH - Hujan renyai tidak menghalang Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 21 (Sungai Rapat) Abu Bakar Hussian bersama petugas lain mengagihkan 480 ekor ayam segar percuma secara pandu lalu berhampiran Padang Futsal Taman Maju Rapat Ipoh pagi ini. 

Program di bawah MBI Prihatin itu turut mendapat kerjasama daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Rahmaniah Taman Maju Rapat; Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Zon 21 (Sungai Rapat). 
 
Abu Bakar berkata, edaran bermula seawal jam 8 pagi dan selesai kurang daripada satu jam, malah ada kenderaan yang menunggu lebih awal untuk mendapatkan bekalan ayam segar berkenaan. 
 
"Hari ini kita bersyukur kerana menerima sumbangan 480 ekor ayam segar daripada MBI, Teduhan Rezeki dan Surau Rahmaniah Taman Maju Rapat. 
 
"Bekalan ayam segar diperoleh dari Kuala Kangsar dan dibawa terus ke lokasi agihan pada pagi ini. 
 
"Kita lihat sambutan yang diberikan penduduk setempat serta mereka yang tinggal di kawasan berhampiran amat menggalakkan. "InshaALLAH jika ada rezeki kita akan buat edaran daging lembu pula," katanya kepada Peraktastic pada Ahad. 
 
Menurutnya, sumbangan ini adalah bagi membantu penduduk sekitar kawasan Zon 21 (Sungai Rapat) terutamanya golongan B40 dan asnaf yang terkesan akibat penularan Covid-19. 
 
"Diharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban serta menceriakan hari minggu penerima," ujarnya.
 
Sebelum ini, Abu Bakar melalui program MBI Prihatin telah mengadakan pengagihan ikan percuma di Kampung Rapat Jaya Tambahan dan Kampung Sungai Rokam secara pandu lalu.