IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak pantas melaksanakan kerja-kerja membasmi kuman (disinfeksi) dan sanitasi awam di tujuh blok Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong hari ini selepas menerima  aduan berhubung kes Covid-19 yang berlaku di kawasan terbabit.

Seramai lapan petugas dari Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI terbabit dalam kerja-kerja tersebut yang dijalankan pagi ini.

Ahli Majlis MBI Zon 7 (Buntong), A Ganesan berkata, beliau menerima maklumat mengenai terdapat penghuni yang dijangkiti Covid-19 melalui pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Buntong dan segera memaklumkannya kepada MBI untuk tindakan lanjut.

Katanya, daripada 26 blok di kawasan berkenaan, terdapat tujuh blok yang dihuni pesakit Covid-19 dan kontak rapat.

“Berikutan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, Pengarah Penilaian MBI dan Unit Vektor MBI yang terus mengambil tindakan segera sejurus saya memaklumkan perkara berkenaan,” katanya pada sidang media di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ganesan turut mencadangkan supaya pesakit positif Covid-19 dikuarantin di lokasi berlainan demi keselamatan penghuni-penghuni rumah pangsa terbabit.

“Kita mencadangkan supaya MBI bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pesakit yang positif ini diasingkan di lokasi lain seperti Dewan Orang Ramai bagi memudahkan urusan untuk memantau pergerakan mereka (pesakit Covid-19).

“Penduduk di sini termasuk pesakit Covid-19 serta ahli keluarga tinggal amat rapat antara satu sama lain. Malah, mereka (pesakit Covid-19) turut menggunakan tangga sama setiap hari malah ada juga yang pergi ke kedai untuk membeli barangan keperluan harian.

“Perkara terbabit dilihat amat membimbangkan penduduk lain dan jika tidak dibendung, mungkin lebih banyak lagi kes Covid-19 akan berlaku pada masa akan datang,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan untuk menempatkan pesakit Covid-19 di lokasi luar kawasan terbabit bagi tujuan kuarantin dapat dipertimbangkan agar tiada penularan jangkitan ke blok-blok lain.