IPOH - "Sekarang saya tak susah hati kalau hujan lebat, takkan basah lagi, sebab saya boleh tidur dalam kabin," luah Yip Foong Yin, 70, dengan nada gembira apabila menerima sumbangan kabin yang akan menjadi tempat tinggalnya, di pinggir Sungai Pinji dekat Taman Pakatan Jaya, hari ini. 
 
Sebelum ini, Peraktastic melaporkan Uncle Yip, warga emas sebatang kara tinggal di rumah usang di pinggir sungai yang menjadi tempat perlindungan hujan dan panas sejak lapan tahun lalu.
 
Uncle Yip yang hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan tinggal di situ selepas rumah peninggalan keluarganya musnah dalam kebakaran.  
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard berkata, nasib Uncle Yip mendapat perhatian dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak sepanjang dua bulan ini antaranya termasuklah MBI melalui program MBI Prihatin dan Pasar Raya Econsave. 
 
Menurutnya, terdapat juga beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut sama menghulurkan pelbagai jenis sumbangan kepada Uncle Yip. 
 
"Hari ini Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham (PKSKB) melalui Frankie Lee Swee Hoo berbesar hati menyumbangkan sebuah kabin (10 kaki x 16 kaki) yang dilengkapi katil bujang dan rak supaya Uncle Yip dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa. 
 
"Kabin yang ditempatkan berhampiran pondok lamanya itu akan dilengkapi panel solar dan kita akan pasang pam air supaya dia (Uncle Yip) tidak lagi menadah air hujan untuk kegunaan harian. 
 
"Kita juga akan mendidik Uncle Yip supaya menjaga kebersihan supaya dia dapat mengubah cara hidup yang lebih baik selepas ini," ujarnya ketika ditemui Peraktastic pada Sabtu. 
 
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan di sekitar kawasan perumahan masing-masing dan jangan sesekali membuang sampah sesuka hati di merata-rata tempat. 
 
"Terdapat longgokan sampah dibuang berhampiran tempat tinggal Uncle Yip dan kawasan ini bukanlah tempat pembuangan sampah. 
 
"Berikutan itu, hari ini kita menolong membersihkan longgokan sampah berkenaan dan berharap orang ramai tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang," jelasnya. 
 
Hadir sama, Pengerusi PKSKB, Sit Yow Cheen.