IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengagihkan 300 tong sampah beroda berkapasiti 120 liter dari rumah ke rumah melalui Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Taman Buntong Ria, hari ini. 
 
Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak berkata, MBI di peringkat akhir menyiapkan Pelan Tindakan Ipoh Bersih 2023 yang akan dilancarkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dalam masa terdekat. 
 
Menurutnya, program pemberian tong sampah ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang terdapat dalam pelan tindakan berkenaan. 
 
"Program yang diadakan dalam kalangan warga Ipoh bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih pada pagi ini akan membantu MBI mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat sejajar dengan matlamat kerajaan yang telah dilaksanakan oleh MBI. 
 
"Selepas program yang diadakan di Zon 7 ini, MBI akan terus memantau dan menggerakkan program sama dan untuk menjadikan kawasan Taman Buntong Ria sebagai zon contoh di kawasan Zon Buntong.  
 
"Kita berharap Ahli Majlis MBI Zon 7 (Buntong), A Ganesan akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP); Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk bagi membantu MBI dalam memastikan kempen kebersihan  ini akan digerakkan di seluruh Kawasan Zon Buntong.  
 
"Seperti yang kita sedia maklum, kebersihan bermula dari rumah. Jika individu boleh urus sampah dengan baik ia akan membantu MBI," katanya pada sidang media di Taman Buntong Ria, hari ini. 
 
Dalam perkembangan sama, Pengarah Pentadbiran Operasi MBI, Musa Dun berkata, pemilihan penerima tong sampah adalah berdasarkan komitmen penduduk yang membuang sampah mengikut jadual hari kutipan sampah ditetapkan dan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pekerja MBI. 
 
Tambahnya, selain itu, penerima tong sampah terbabit adalah penduduk dalam golongan berpendapatan rendah (B40). 
 
Sementara itu, Ganesan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh yang mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pemberian tong sampah kepada penduduk di Zon 7. Pada masa sama, beliau juga akan memastikan masalah longgokan sampah haram dapat diatasi segera. 
 
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Bandaraya MBI Mohd Alias Kamaruddin dan Ketua Penolong Pengarah Kesihatan MBI, S Manisegaran.