IPOH - Lebih 2,000 penghantar makanan kini dapat berlindung dalam keadaan cuaca panas atau hujan apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan tujuh tempat Rehat dan Rawat Rider (3R) di sekitar bandar raya  ini. 
 
MBI turut menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menyediakan tempat rehat yang dilengkapi kemudahan ruang rehat, solat, tandas, cas telefon bimbit dan wifi percuma.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, tujuh lokasi terbabit adalah di Pusat Bandar bersebelahan bangunan MBI, bandar Meru Raya (berhadapan McDonalds Meru Raya), Jelapang (berhadapan Old Town White Coffee Pusat Komersial Jelapang) dan Tasek (berhadapan Pizza Hut dan KFC Pusat Perdagangan Tasek).
 
Tambahnya, lokasi lain termasuk Ipoh Garden di kawasan lapang berhampiran Tesco Ipoh Garden, Medan Gopeng (berhadapan McDonalds dan Starbucks Coffee) dan Station 18 (kawasan lapang tempat letak kereta berhampiran Tesco).
 
"MBI mengambil inisiatif membina 3R ini supaya penghantar makanan boleh berehat, mengadakan mesyuarat kecil atau perbincangan serta menunaikan solat di situ.
 
"Pembinaan tempat rehat ini adalah salah satu cara untuk memberi penghargaan kepada penghantar makanan yang juga dilihat sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan (frontliner) terutamanya sewaktu pandemik Covid-19,” katanya. 
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 3R di Pusat Bandar bersebelahan bangunan MBI, di sini, hari ini.
 
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak. 
 
Pada majlis itu, Nolee Ashilin turut menyampaikan 200 baucer minyak petrol bernilai RM5 setiap satu kepada penghantar makanan.
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak RM500,000 diperuntukan bagi pembinaan tujuh 3R yang ditempatkan di sekitar bandar raya ini. 
 
"Peruntukan itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa 5 yang diumumkan pada Disember lalu," ujarnya. 
 
Jelasnya, daripada tujuh lokasi itu, empat sudah siap dibina sepenuhnya iaitu di Pusat Bandar, Meru Raya, Jelapang dan Medan Gopeng manakala tiga lokasi lagi dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung bulan ini.
 
Menurutnya, kerajaan negeri akan melihat jika terdapat keperluan untuk membina tempat rehat yang sama di daerah-daerah lain.
 
Sementara itu, penghantar makanan Foodpanda, Farhan Zai, 29, berterima kasih di atas keprihatinan MBI yang membina tempat 3R ini untuk kemudahan 'rider'. 
 
"Kami dapat cas telefon sementara menunggu pesanan dan yang paling penting ada tempat solat untuk Muslim," ujarnya. 
 
Seorang lagi penghantar makanan GrabFood, Ilias Ahmad, 27, berkata, kini mereka tidak lagi perlu bersidai di tepi jalan ketika menunggu pesanan masuk dan tempat rehat ini juga amat memberi manfaat kepada mereka untuk berlindung terutamanya sewaktu cuaca hujan.