IPOH - Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah Fareena Shahmina, bayi berusia 10 bulan mengalami down syndrome sejak lahir kini disahkan mengidap jantung berlubang dan harus menjalani pembedahan segera.

Tambah menyedihkan bapanya Faidzal Shahril Alang Abdul Rahman, 40, bekas pelatih aksi lagak ngeri (stuntman) di Movie Animation Park Studio (MAPS) telah diberhentikan kerja pada 28 Januari lalu tanpa sebarang pampasan.

Menurut Faidzal Shahril, pembedahan anaknya itu akan dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 3 Jun ini dan kos pembedahan dianggarkan antara RM20,000 ke RM30,000.

“Fareena telah disahkan mengalami masalah jantung berlubang sejak 2019 oleh pakar jantung IJN yang membuat pemeriksaan bersama di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Pembedahan perlu dilakukan sepertimana yang dijadualkan bagi merawat dua lubang yang terdapat dijantungnya. 

“Sejujurnya saya tidak mempunyai wang sebanyak itu, ini yang membuntukan saya. Sejak saya diberhentikan kerja, pendapatan saya hanya bergantung kepada kerja-kerja mencetak baju secara kecil-kecilan, memperbaiki telefon, menjadi ‘runner’ dan pendek kata apa saja saya buat asalkan dapat menampung perbelanjaan harian dan boleh mengumpul kos pembedahan itu”, katanya ketika dihubungi.

Fareena Shahmina merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik. Kakak sulungnya, Farisha, 10, turut disahkan sebagai kanak-kanak autism dan kini bersekolah di aliran pendidikan khas. Anak keduanya Farzana Safiyyah, 5, bersekolah tadika dan Farihah Surfina, 4, berada dalam keadaan yang sihat. Mereka dijaga oleh isterinya Noor suhaida Shariff, 40, suri rumah sepenuh masa.

Faidzal Shahril turut menyatakan rumah yang didiaminya kini, sudah tiga bulan sewa rumah tertunggak. Sewa sebulan ialah RM900 dan dia berasa bimbang sekiranya tuan rumah memberinya notis keluar rumah.

Keresahan Faidzal Shahril akhirnya terbela selepas dikunjungi oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut menghulurkan bantuan. 

“Terima kasih DI atas kunjungan tersebut yang sedikit sebanyak melegakan saya selain dari sokongan moral yang diberikan mereka. Saya juga difahamkan pihak JKM telah mendaftarkan anak saya untuk menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 sebulan dibawah kad Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya berharap kos yang diperlukan dapat dikumpul dalam masa terdekat agar urusan pembedahan anak saya dapat berjalan dengan lancar. Ini memang menyulitkan saya, tapi saya yakin ianya akan dipermudahkan Allah SWT. 

Kepada yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162807119308 - Faidzal Shahril Alang Abdul atau terus ke rumah di alamat , No.8, Laluan Meru Indah 2A, Gerbang Meru, 30020, Ipoh Perak.