IPOH – Sebanyak 34 buah sekolah di negeri ini dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) remaja selain PPV awam yang digunakan untuk pemberian vaksin.

Bagi zon Kinta Utara, jumlah pelajar tingkatan lima dan empat adalah 17,891 manakala tingkatan satu hingga tiga seramai 50,821 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, secara keseluruhan sehingga Ahad lalu, seramai 64,681 atau 27.3 peratus remaja di negeri ini telah menerima vaksin Covid-19.

Menurut beliau, mengikut statistik jumlah remaja negeri Perak yang berusia antara 12 hingga 17 tahun adalah seramai 237,000 atau 9.5 peratus daripada penduduk.

“Melihat pada keadaan semasa, jumlah kes Covid-19 di Perak menunjukkan trend penurunan dengan 713 kes direkodkan semalam.

“Jumlah pesakit yang ditempatkan di wad rawatan rapi pula 89 orang. Alhamdulilah, ini menunjukkan ikhtiar menerusi program vaksinasi ada kesan positif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di PPV Sekolah Izzudin Shah di sini pagi tadi.

Sekolah berkenaan merupakan salah sebuah PPV bagi program vaksinasi remaja negeri Perak di Ipoh dengan kapasiti 1,200 penerima vaksin sehari.

Dalam pada itu kata Mohd. Akmal, program vaksinasi remaja negeri Perak akan dipergiatkan selepas ini pada institusi sekolah agama yang berdaftar dan tidak berdaftar melalui aplikasi Anakku dan MySejahtera.

Katanya, terdapat 107 buah sekolah menengah agama, maahad dan madrasah berdaftar di negeri ini dengan anggaran kira-kira 10,000 pelajar.

"Program vaksinasi itu akan melibatkan kerjasama melalui Jabatan Agama Islam Perak.

"Sehubungan itu sokongan ibu bapa sangat perlu bagi memastikan para pelajar ini dilindungi daripada jangkitan Covid-19 menerusi vaksinasi," ujarnya.