SUNGAI SIPUT – Seramai 27 sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada siswa-siswi, pensyarah dan kakitangan turun padang dalam misi membantu mangsa banjir kilat yang terkesan di Sungai Siput.

Sukarelawan ResQ Team UPSI ini membantu membersihkan rumah penduduk di Mukim Pulai Kamiri dekat sini yang ditenggelami air akibat banjir kilat kelmarin.

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, penglibatan tersebut adalah kesinambungan daripada beberapa misi serupa yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut beliau, selain membersihkan rumah penduduk terjejas, misi itu juga menyampaikan bantuan barang-barang keperluan harian kepada penduduk yang rumah mereka dinaiki air.

“Sukarelawan ResQ UPSI mencuci rumah mangsa serta mencuci karpet masjid yang basah ditenggelami air banjir.

“Empat kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan sebuah bas diguna untuk membawa sukarelawan dan peralatan dalam misi bantuan banjir itu,” ujarnya.

Sebanyak 50 pek barangan keperluan asas dan makanan kering sumbangan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut diserahkan kepada mangsa banjir.

Sehingga semalam, seramai 83 mangsa yang terdiri daripada 22 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Orang Ramai RPT Tok Sirat dan Dewan SMK RLKT Lasah.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, misi kemanusiaan itu sebagai rasa prihatin terhadap nasib yang menimpa penduduk Felda Lasah dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tok Sirat di mukim tersebut.

“Usaha murni ini selaras dengan agenda memperkukuh keinsanan warga UPSI yang sentiasa menyumbang keringat dan tenaga,“ katanya.