IPOH - Orang ramai yang mempunyai peralatan elektrik atau eletronik yang sudah tidak digunakan lagi kini boleh menukarkan barangan tersebut kepada wang tunai.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Munir Ishak berkata, program yang diberi nama 'e-waste' ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap tanggungjawab menguruskan bahan buangan dengan cara yang selamat.

"Matlamat kita adalah untuk membudayakan masyarakat untuk menguruskan bahan buangan 'e-waste' ini secara mesra alam dan lestari," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aktiviti Pengumpulan Sisa Elektrik dan Eletronik (e-waste) Peringkat MBI, Sempena Hari Alam Sekitar Tahun 2021 di Persiaran Bougainvillea, di sini,hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Rizal Ramli.

Ahmad Munir berkata, tema sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021, 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama' adalah selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang bertemakan 'Perak Bumi Lestari'.

Katanya, 'e-waste' dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah kod SW110 Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memberi maksud bahan buangan daripada pemasangan elektrik dan elektronik.

Selain itu, katanya ia dapat memperkukuhkan kerjasama antara pengeluar, penjual dan pengedar barangan tersebut serta penglibatan agensi kerajaan mengenai kepentingan bahan buangan itu.

Program yang dilaksanakan secara berperingkat ini, melibatkan lima lokasi terpilih, iaitu :-

1) Persiaran Bougainvillea (pandu lalu) - pada 5 & 6 Oktober bermula jam 7.30 pagi hingga 11.00 pagi.

2) Bahagian Perkhidmatan Bandar - 7 Oktober (8 hingga 11 pagi).

3) Taman Rekreasi Gunung Lang - 8 Oktober (8 hingga 11 pagi)

4) Perpustakaan Tuan Razak - 13 Oktober (8 hingga 11 pagi)

5) Pejabat Lama MBI - 14 & 15 Oktober ((8 hingga 11 pagi)

Sementara itu, bagi peringkat komuniti pula, Ahli Majlis di 24 Zon akan terlibat bersama kontraktor pengumpulan 'e-waste' berlesen, lantikan Jabatan Alam Sekitar bersama MBI iaitu Syarikat Edsha Solution Sdn. Bhd.

Oleh itu, orang ramai yang ingin menghantar buangan 'e-waste' ini boleh merujuk poster yang telah diedarkan mengikut zon berkenaan.

Jelasnya, setiap item buangan 'e-waste' yang diberikan kepada pihak kontraktor akan menerima token secara tunai mengikut kadar harga ditetapkan.