Covid-19: 91.6 peratus remaja terima vaksin satu dos
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 419
IPOH- Sejumlah 126,211 pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun seluruh negeri Perak sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata daripada jumlah itu, 115,617 pelajar atau 91.6 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Mengikut pecahan umur, seramai 61,853 pelajar yang berusia 16 hingga 17 tahun sudah mendaftar dan 55,976 atau 90.5 peratus daripadanya sudah menerima vaksin.
“Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula, 64,358 sudah mendaftar dan 59,641 atau 92.67 peratus telah mendapat suntikan vaksin.
“Sebanyak 41 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dibuka bagi tujuan pelaksanaan program ini meliputi sekolah, kolej vokasional dan PPV awam,” katanya kepada media selepas lawatan Program Vaksinasi Remaja, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di SMA Izzuddin Shah hari ini.
Program vaksinasi remaja telah dimulakan di Perak sejak 20 September lalu yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.