KAMPONG GAJAH – Bantuan anggota bomba terpaksa diminta ekoran seorang wanita mengalami sesak nafas sebelum pengsan semasa melakukan aktiviti mendaki di Bukit Tunggal, Kampong Gajah dekat sini.

Difahamkan, mangsa bersama keluarganya melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu sebelum dia mengalami sesak nafas. 

Bukit Tunggal setinggi 200 meter selalu menerima pengunjung yang datang untuk beriadah dan mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke puncak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 pagi.

Kata jurucakap tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampong Gajah telah dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

"Mangsa wanita Melayu berusia 36 tahun melakukan aktiviti riadah bersama keluarga sebelum mengalami sesak nafas dan pengsan.

"Anggota bomba menaiki kenderaan pacuan empat roda orang awam sejauh 2.5 kilometer untuk membawa turun mangsa dari bukit berkenaan dan memberikan rawatan awal " ujar jurucakap tersebut.

Sebaik tiba di kaki bukit, mangsa diserahkan kepada anggota paramedik BBP Seri Iskandar untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Kampong Gajah.

Operasi yang diketuai PBK II Megat Mohd. Dahari Megat Jamaluddin tamat sepenuhnya pada pukul 11.40 pagi.