Ipoh- Kerajaan negeri mengumumkan pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sejumlah RM46.5 juta khusus untuk membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata peruntukan itu bertujuan membantu PMKS meringankan bebanan sewaktu mengharungi tempoh sukar susulan pandemik COVID-19.

“Bantuan khas akan diberikan secara one off RM300 kepada 41,730 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM12.5 juta.

“Kita juga menyediakan Geran Usahawan Perak (GeRUP) berjumlah RM1.85 juta akan disediakan kepada 619 penerima. Bayaran pampasan peniaga yang terlibat dengan pembatalan Bazar Aidilfitri tahun ini yang melibatkan dana sebanyak RM30,000.00.

“Pengecualian sewa 10,264 gerai di bawah PBT yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta. Kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya yang melibatkan 743 peminjam.

“Bagi usahawan dalam sektor pertanian, nisiatif ini memberi manfaat kepada para petani, penternak dan nelayan seperti pemberian bantuan input ladang dan ternakan, pemberian benih dan peralatan aktiviti penuaian hasil pertanian, program pembangunan modal insan serta kotak makanan,” kata dalam sidang media sempena program lawatan Menteri Besar Bersama Rakyat Usahawan Perak Sekitar Ipoh hari ini.

Menurutnya lagi,konsep pendigitalan perniagaan telah memberikan kesan positif khususnya dari aspek pemasaran usahawan disamping mampu melaksanakan pelan pemulihan demi merancakkan semula ekonomi rakyat dan negeri.

“Kerajaan negeri melalui UPEN, STeP dan IDR akan terus mencari jalan untuk terus memperkasa golongan usahawan dan membina semula perniagaan selepas pandemik COVID-19.

“Bantuan Perak Sejahtera Usahawan Kraftangan Perak’ berjumlah RM182,000 akan diberikan kepada 91 pengusaha kraftangan seluruh negeri Perak. Bantuan one off berjumlah RM2,000 ini diharap dapat membantu usahawan kraf terlibat bangkit kembali dalam perniagaan mereka,” katanya.

Pada masa yang sama, Saarani meminta supaya semua agensi negeri dan GLC negeri menggunakan produk-produk usahawan Perak sebagai cenderahati rasmi agensi dan GLC masing-masing. Moga usaha ini dapat membantu mempergiatkan promosi produk keluaran usahawan Perak.