MANJUNG - Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari bot semasa mencari kerang di perairan Kuala Panchor, Pantai Remis di sini ditemui petang tadi.

Identiti mangsa disahkan sebagai Sharil Daud, 33, dan mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 1.30 petang setelah botnya ditemui orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari Jeti Bagan Panchor.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam tentang kehilangan mangsa pada pukul 3.35 petang.

Menurut jurucakap itu, gerakan mencari dan menyelamat kemudian dilancarkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis.

"Operasi pencarian dilakukan menggunakan dua bot nelayan dengan kekuatan enam anggota bomba dibantu 10 lagi bot nelayan Bagan Panchor.

"Radius pencarian sejauh 500 meter dalam kawasan koordinat diperolehi," ujar jurucakap itu.

Pada pukul 7 malam mayat mangsa kemudiannya berjaya dijumpai oleh nelayan di perairan tersebut.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai PPgB Mohd. Akmal Hussin tamat sepenuhnya pada pukul 7.38 malam.