IPOH - Malang menimpa seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Jelapang-Taman Meru Perdana di sini pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.20 pagi semasa mangsa yang berusia 42 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda KKM.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.29 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dikerah ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan kecemasan.

"Sebaik tiba, anggota kita mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda milik KKM telah terbabas masuk ke dalam parit pada bahu jalan.

"Mangsa yang tersepit bagaimana pun telah dikeluarkan oleh orang ramai yang melihat kejadian itu," ujar jurucakap tersebut.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Chemor ke tempat kerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Kousaidi Mohd. Saad tamat sepenuhnya pada pukul 8.30 pagi.