LUMUT - Mayat seorang pemancing yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot di perairan Lekir malam tadi ditemui pasukan penyelamat.

Mayat mangsa ditemui pukul 8 pagi tadi kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Identiti mangsa disahkan sebagai Nurman Hafiz Nordin, 35, yang bertugas di Batalion Empat PGA Semenyih, Selangor.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.09 malam semalam.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dibantu BBP Seri Manjung melakukan operasi mencari dan menyelamat sebaik laporan diterima.

"Mangsa bersama abang dan anak saudaranya menaiki sebuah bot bagi menangkap ikan di kawasan perairan Batu 8 Lekir.

"Bagaimana pun dia dikatakan terjatuh apabila bot yang dinaiki berpusing ketika dalam perjalanan balik ke pelantar ikan Batu 8 Lekir pada jarak kira-kira 1.8 kilometer dari jeti tersebut," ujar jurucakap tersebut.

Operasi mencari bersambung pagi tadi dan tidak lama kemudianmayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd. Zaki Zainol itu
tamat sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi.