IPOH - Program Bridge Virtual Summer Camp 2021 yang berlangsung secara maya, berjaya menyatukan budaya dan ideologi para peserta dari 40 buah negara di rantau Asia Pasifik.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata program yang disertai oleh para pelajar dari pelbagai negara ini, diadakan  setiap Ahad minggu keempat bermula 22 Ogos hingga 17 Oktober 2021.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP)  telah menyertai program Asian Pacific Children's Convention anjuran Bandaraya Fukuoka sejak tahun 2001.

"Ia melibatkan pelajar-pelajar berusia di antara 11 hingga 12 tahun dari sekolah-sekolah rendah di sekitar Bandaraya Ipoh.

"Pelajar-pelajar ini diibaratkan duta kecil yang mewakili bandaraya masing-masing bagi tujuan mengeratkan persahabatan di kalangan negara-negara yang mengambil bahagian, " katanya selepas menyampaikan sijil penyertaan kepada sembilan peserta program.

Turut hadir, Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Azizul Khalili Yahaya,

Menurut Rumaizi, bagi melancarkan komunikasi program dua hala ini, para peserta telah menghadiri kelas Bahasa Jepun dan Bahasa Inggeris.

"Selain memantapkan  penguasaan bahasa, mereka juga  mengadakan perbincangan khususnya dalam mencapai matlamat pembangunan mampan.

"Dimaklumkan, bekas peserta-peserta dari program ini juga telah berjaya menubuhkan Bridge Club Ipoh yang bertujuan meneruskan aktiviti kebajikan komuniti, membimbing dan memberi sokongan moral khasnya kepada para peserta baharu.

"Ramai yang telah berjaya dalam kerjaya mereka seperti Asyur Anwar Mustapha, telah menjadi seorang ahli perniagaan dan Dr Alif Syazani Leman yang kini bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran Perak," ujarnya.