IPOH - Situasi cemas melanda penduduk pekan Gerik apabila satu deretan kedai dan rumah di kawasan pekan di situ terbakar dalam kejadian malam ini.

Kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.50 malam itu melibatkan tiga kedai dan tiga buah rumah.

Bagaimana pun tiada mangsa yang dilaporkan cedera.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.01 malam.

Kata jurucakap tersebut, beberapa buah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Gerik digerakkan bagi memadamkan kebakaran.

"Semasa bomba tiba kebakaran menyebabkan premis dan kediaman yang terlibat terbakar kira-kira 80 peratus.

"Operasi pemadaman turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Lenggong, BBP Pengkalan Hulu, dan jentera bekalan air dari BBP Kuala Kangsar," katanya.

Sehingga pukul 10 malam ini pasukan bomba masih berusaha memadamkkan kebakaran bagi mengelakkan api terus marak ke premis berdekatan.

Operasi pemadaman diketuai PPgB Azizan Aziz.