IPOH – Kerancakkan pembangunan negeri Perak menjelang 10 tahun akan datang dirancang dengan terperinci menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 29 Mac lalu sebagai pemandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelan pembangunan tersebut dibangunkan berlandaskan tiga prinsip utama iaitu inklusif, realistik dan boleh capai dengan keseluruhan perancangan dijangka siap pada Februari tahun hadapan.

Menurut beliau, fasa pertama telah dijalankan melalui sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan dua siri bengkel telah dianjurkan dan pada fasa ini.

“Fasa kedua telah dilaksanakan melibatkan sesi libat urus bersama anggota pentadbiran kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Proses pemetaan dan penjajaran pelan-pelan pembangunan sedia ada dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 turut dijalankan dan kini berada dalam fasa ketiga iaitu melibatkan libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat daerah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) pada sesi soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Jelas Menteri Besar, fasa keempat pula melibatkan penyediaan pelan pemantauan dan draf akhir pelan yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2022.

“Pelan ini berpaksikan kepada matlamat Perak Makmur Rakyat Sejahtera dengan tujuan memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik,” ujarnya.