IPOH – Fasa pemulihan sektor pelancongan susulan situasi pandemik ketika ini diramalkan berjalan perlahan dan pasti memberikan cabaran besar kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri pelancongan negara.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyedari situasi yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan khususnya beberapa kekangan membabitkan faktor kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Pelan Pemulihan Negara merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan sektor ekonomi dan sosial dapat dipulihkan secara berperingkat- peringkat secara berstrategi.

“Pembukaan sempadan bagi rentas negeri sekurang-kurangnya dapat memberikan kelegaan kepada pengusaha pelancongan. Oleh yang demikian, buat masa ini tumpuan diberikan sepenuhnya kepada pelancongan domestik.

“Menyedari perkara ini, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan dan insentif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE),” ujarnya semasa menjawab soalan Dr. Ko Chun Seng (DAP – Kepayang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ujar Nolee, bantuan kewangan one-off yang diberikan adalah kepada pemandu pelancong yang berlesen dan beroperasi di Perak sebanyak RM700; agensi pelancongan dan pengembaraan berdaftar (RM2,000), persatuan/NGO berkaitan pelancongan (RM10,000), pengusaha hotel dan pengusaha hotel bajet (RM2,000).

Turut dibantu katanya ialah ahli pengusaha hotel dan resort di Pulau Pangkor yang berdaftar, dengan persatuan berkaitan, pemandu-pemandu bot pelancongan (Teluk Intan, Kuala Sepetang, Taiping, Pulau Pangkor, Temenggor dan sebagainya) berjumlah RM400, pengusaha homestay (RM2,000), dan 35 syarikat umrah di bawah Persatuan Umrah Haji dan Ziarah (PUHAZ) negeri Perak (RM2,000).

“Dengan adanya bantuan seperti ini sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban penggiat-penggiat industri yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19,” kata beliau.

Kerajaan negeri melalui Tourism Perak juga telah merancang beberapa program acara sehingga hujung tahun ini seperti Pangkor Sea Challenge dan Sambutan Ambang Tahun Baru.

Ujar Nolee, Tourism Perak juga telah menerima lebih kurang 100 penganjuran acara dari pelbagai pihak untuk dilaksanakan pada tahun 2022 untuk disenaraikan di dalam Kalendar Acara Tahun 2022 Negeri Perak untuk memeriahkan dan menarik pelancong ke negeri ini.

“Kalendar Acara ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Antara acara yang diketengahkan bagi memeriahkan menarik kedatangan pelancong adalah seperti Pesta Songkran yang dijangka pada 11-13 April 2022, Pesta Laut Lumut Pangkor (19-23 Oktober 2022) dan Lumut International Boat Show (11-12 Disember 2022),” jelasnya.