IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak akan menganjurkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) secara serentak di kawasan Parlimen di seluruh negeri ini esok dan Ahad.

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan rakan-rakan strategik kementerian.

KPDNHEP negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 22 lokasi penganjuran jualan tersebut yang antaranya melibatkan pasaraya besar dan tempat tumpuan orang ramai di lokasi-lokasi yang terlibat bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Antaranya di Parlimen Teluk Intan, Bagan Datuk, Gerik, Lenggong, Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Taiping, Bukit Gantang, Parit, Beruas, Pasir Salak, Lumut, Sungai Siput, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Kampar, Tambun, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Tapah, Tanjung Malim,

“Lebih 80 jenis barangan ditawarkan kepada pengguna pada Program Jualan Keluarga Malaysia termasuk barangan basah dan barang keperluan dapur.

“Pihak swasta seperti pengeluar, pemborong, peruncit, koperasi dan pasaraya juga turut sama memberi sokongan dalam menjayakan PJKM di negeri Perak,” ujar kenyataan tersebut.

KPDNHEP menjemput orang ramai terutama warga negeri Perak supaya hadir ke lokasi-lokasi PJKM yang ditetapkan bagi mendapatkan barang-barang keperluan pada harga yang menarik.