IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menghantar sepasukan kakitangannya untuk melaksanakan misi bantuan mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud berkata pihak MBI menyahut baik seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed untuk bersama-sama melaksanakan misi bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat.

“Selain menghantar seramai 23 orang anggota untuk membantu Majlis Pembandaran Kuala Langat, kita juga menyertakan sekali dua buah kenderaan pacuan empat roda, dua buah lori, tiga buah van dan sebuah bot penyelamat.

“Di bawah program MBI Prihatin, kita juga berkerjasama dengan Pasaraya Econsave dan menyumbangkan sebanyak 100 bungkusan makanan bagi meringankan bebanan penduduk kawasan terbabit.

“Kumpulan pertama ini akan berada di lokasi kejadian banjir dengan memfokuskan kerja-kerja pembersihan selama tiga hari. Sekiranya kerja-kerja pembersihan masih lagi tidak selesai, MBI akan menghantar sepasukan baru secara bergilir-gilir sehinggalah selesai,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelepasan Pasukan MBI ke Majlis Perbandaran Kuala Langat di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI, Abu Bakar Hussian.

Pada masa sama, Rumaizi juga memaklumkan MBI juga akan menghantar pasukan bantuan ke Negeri Pahang bagi membantu Majlis Pembandaran Bentong melakukan kerja-kerja pembersihan banjir.

“Kita juga sedia maklum daerah Bentong, Pahang juga mengalami bencana banjir dan pastinya memerlukan sokongan dan bantuan.

“Namun ianya bergantung kepada keadaan banjir di sana. Sekiranya keadaan banjir sudah reda dan surut kita akan memastikan bantuan akan dihantar seperti yang dilakukan hari ini,” ujarnya.