TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memainkan peranannya sebagai barisan hadapan universiti berkenaan apabila turut terbabit dalam misi membantu mangsa banjir di Teluk Intan dan Lembah Klang.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pihaknya telah menggerakkan ResQ Team sejak tujuh hari lalu bersama sukarelawan membabitkan kakitangan dan pelajar bermula dengan kawasan Lembah Klang.

“Alhamdulillah, usaha kami ini mendapat perhatian dan sokongan terutama daripada masyarakat dan warga UPSI melibatkan pelajar dan kakitangan yang sentiasa bersiap siaga dalam membantu mangsa banjir kali ini.

“Kita juga mengalu-alukan sumbangan berbentuk kewangan, barangan dan tenaga dalam kerja-kerja pembersihan yang memberi seribu satu makna kepada penduduk yang terjejas,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin, kumpulan pertama sukarelawan UPSI dikerah ke Shah Alam, diikuti Bentong di Pahang, Jeram, Kuala Slim, Hulu Langat dan kini ke Teluk Intan serta Kuala Selangor.

Menurut beliau, sukarelawan berkenaan bergerak dengan pasukan ResQ UPSI yang lengkap dengan pelbagai alat bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan membersihkan rumah penduduk.

“Pada masa sama kita telah menyampaikan 50 pek bantuan di PPS SMART, Kampung Glouster, Changkat Jong, dan Stor Bencana Pusat Pejabat Kebajikan Hilir Perak, Teluk Intan.

“Pihak ResQ Team menerima sumbangan 650 pek makanan bernilai RM10,000 daripada Mydin USJ hasil usaha Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Ahmad Burak bagi diagihkan pada mangsa banjir di Kuala Selangor,” ujarnya.