IPOH - Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) kini membuka kaunter pandu lalu bagi memudahkan masyarakat Islam di bandaraya ini untuk melunaskan pembayaran zakat.

Langkah ini juga bagi membolehkan orang ramai tidak ketinggalan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut yang berbaki beberapa hari menjelang tahun baharu 2022.

MAIPk dalam hantaran pada laman Facebook rasmi memberitahu, pihaknya amat memahami kesibukan
terutama dalam memacu pecutan terakhir menyelesaikan segala macam tugas dan tanggungjawab sebelum menjelang tahun baharu.

Menurut hantaran tersebut, khidmat kaunter pandu lalu itu dibuka di Ibu Pejabat MAIPk, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini.

"Kaunter Zakat dan Wakaf Pandu Lalu ini mula beroperasi dari 22 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021.

"Isnin hingga Jumaat, kaunter pandu lalu ini dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dibuka dari pukul 9 pagi hingga 3 petang," ujar kenyataan itu.

Manakala semua kaunter zakat dan wakaf di semua cawangan MAIPk di seluruh negeri juga beroperasi setiap hari termasuk pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum sehingga 31 Disember 2021.