Bentong- Misi bantuan banjir oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Bentong berakhir dengan cemerlang dan mendapat penghargaan dari pihak Majlis Pembandaran Bentong (MPB).

Yang Dipertua MPB, Dato' Aida Munira Abdul Rafar berkata MBI bertindak pantas dan tepat menghantar pasukan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan banjir di Bentong.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBI khususnya kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin Md Daud kerana menghantar sepasukan MBI untuk membantu MPB melaksanakan tugas-tugas pembersihan malah turut mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di sini.

“Begitu juga sekalung penghargaan kepada semua ahli Pasukan Khas Misi Bantuan Banjir MBI yang bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja murni ini tanpa mengira masa dan tenaga.

“Saya berharap kerjasama ini akan diteruskan pada masa hadapan dan kami juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada MBI sekiranya diperlukan,” katanya selepas menyampaikan plak penghargaan kepada Pasukan Khas Misi Bantuan Banjir MBI di Dewan Jubli MPB semalam.

Pasukan Khas Misi Bantuan Banjir MBI seramai 45 orang itu, diketuai oleh Mohamed Khairi Zaidi dan dibantu oleh Penguatkuasa MBI, Mohd Zaki Nahrawi. Ia merupakan pasukan terawal yang menjalankan misi bantuan banjir di daerah terbabit bermula 23 hingga 28 Disember 2021.

Misi ini menyahut seruan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang mengumumkan kerajaan negeri akan membantu komuniti Selangor dan Pahang yang terkesan dengan bencana banjir sebagai tanda ihsan dan solidariti.

Aida Munira juga berharap, semoga misi ini akan mengeratkan lagi hubungan silatulrahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak dan Pahang disamping membantu meringankan beban pihak MPB.