IPOH - Kes varian terbaru Covid-19, Omicron dikesan di Perak menerusi seorang individu tempatan yang disahkan positif selepas pulang menunaikan umrah di Arab Saudi.

Ini menjadikan ia kes kedua selepas membabitkan seorang pelajar berusia 19 tahun yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan melalui Singapura November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, individu berkenaan dikesan semasa dalam tempoh kuarantin.

“Setakat ini individu berkenaan mengikut sepertimana pematuhan SOP kuarantin yang ditetapkan dan keadaannya terkawal,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perak di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Rosli Zul.

Sementara itu ketika ditanya secara terperinci mengenai kes itu di Perak, Mohd Akmal berkata pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai individu terbabit.

Dalam pada itu, Mohd. Akmal turut memohon kerjasama baik syarikat umrah selain semua pihak akur dengan arahan kuarantin selama tujuh hari yang ditetapkan.

“Justeru kita minta mereka yang pulang dari umrah terus mengikuti kuarantin dan tidak perlu berjumpa dengan orang sebagai langkah berjaga-jaga," ujarnya