TANJUNG MALIM - Seramai 117 sukarelawan daripada sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Perak terbabit dalam Misi Keluarga PBT@Perak ke Bentong, Pahang.

Pelepasan misi ini telah diadakan pada Isnin lalu di pekarangan Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan),
Haliza Sipun.

Misi selama dua hari ini adalah untuk membantu urusan pasca banjir di daerah Bentong daripada aspek kebersihan perbandaran dan mengikut keperluan pihak Pentadbiran Daerah Bentong.

Sembilan PBT tersebut terdiri daripada Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Kampar.

Turut serta ialah Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Majlis Daerah Tapah, Majlis Daerah Perak Tengah dan Majlis Daerah Tanjong Malim.

Sementara itu, seramai 20 orang sukarelawan Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) telah digerakkan bagi menyertai Misi Bantuan Prihatin Banjir Negeri Selangor, pada Ahad.

Barisan sukarelawan yang diketuai Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, SUK Pera, Minha Julabidin Ismail, telah membantu membersihkan beberapa buah rumah yang terjejas banjir di sekitar Taman Hulu Langat Jaya, Selangor.

Selain itu, barang keperluan asas hasil sumbangan ahli KESEDAR turut diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

Usaha misi bantuan ini juga diharap dapat meringankan bebanan pemilik kediaman yang terkesan.