BATU KURAU - Operasi mencari seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai hilang di kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Senpeneh, Cempaka dekat sini semalam disambung pagi tadi.

Mangsa yang berumur 26 tahun dipercayai hilang di dalam kawasan hutan pada jarak dua kilometer dari rumahnya kira-kira pukul 4 petang semalam.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 malam tadi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau telah dihantar ke tempat kejadian bagi membantu melakukan pencarian.

"Usaha mencari mangsa kemudiannya dilakukan oleh anggota polis bersama kira-kira 50 orang penduduk kampung tetapi mangsa tidak dijumpai," ujar jurucakap tersebut.

Katanya, anggota bomba telah menyambung semula gerakan mencari mangsa pukul 7 pagi tadi manakala sebuah pusat kawalan bergerak telah dibuka di lokasi kejadian.

Operasi diketuai PBK 1 Mohd. Hisham Osman.