IPOH- Sorotan kejadian banjir di Pahang baru-baru ini, telah menarik perhati pihak Impiana Hotel untuk turut menyumbang sebagai tanda sokongan dan simpati.

Pengurus Sumber Manusia, Vethambal Rajalimgam berkata pihaknya turut merasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir khususnya di negeri Pahang dan terpanggil untuk mengumpulkan dana di antara kakitangan Impiana Hotel.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami juga turut ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa bencana alam, memandangkan situasi sekarang semua industri kembali beroperasi, kami tidak dapat meluangkan masa bersama-sama menyertai kerja-kerja pembersihan di kawasan banjir terlibat.

“Sebagai sokongan kepada mangsa banjir, kami mengumpulkan dana di kalangan kakitangan untuk membeli barangan-barangan seperti bantal, periuk nasi, selimut dan sedikit makanan kering.

“Kami sangat berbangga dengan usaha murni yang dilakukan oleh Pertubuhan Puteri Kebajikan Perak (PPKP) kerana memberi peluang kepada kami untuk bersama-sama membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya kepada Peraktastic selepas menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi PPKP, Wan Norashikin Noran di Impiana Hotel, semalam.

Sementara itu, Pengerusi PPKP, Wan Norashikin Noran berkata pihaknya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah tampil menghulurkan bantuan kepada magsa banjir.

“Saya juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Batera Amal dan Pertubuhan Amal Sahabat Perak kerana menjadi teraju utama menjayakan Misi Bantuan Banjir ke beberapa lokasi mangsa banjir seperti Tanjong Kerayong, Mentakab, Kampung Sungai Ara, Kampung Batu Kapur, Kampung Gajah Mati dan Taman Jasmin,”katanya.