Oleh : Sherpole Haroone

IPOH – Sukan larian malam kini semakin popular di kalangan generasi muda malah ia menjadi satu gaya hidup yang memberi manfaat kepada kesihatan.

Seorang penjawat awam, Amnan Osman, 33, kesibukan seharian di pejabat membuatkannya mengambil keputusan untuk bersukan di sebelah malam.

“Masyarakat hari ini kebanyakkannya suka kepada aktiviti berbasikal di waktu malam, namun saya memilih aktiviti larian malam kerana ia juga satu bentuk sukan dan rekreasi yang boleh menyumbang kepada kehidupan sihat tubuh badan.

“Saya juga tidak menjangka larian malam yang saya lakukan ini mendapat reaksi positif dalam kalangan peserta khasnya golongan remaja dan dewasa. Sukan ini juga bersesuaian di dalam suasana pasca COVID-19 kerana ia dilakukan di kawasan terbuka dan mengikut SOP.

“Saya menubuhkan Bagi Run Club (BRC) bertujuan memberi peluang dan menarik lebih ramai ahli untuk menyertai. Oleh itu, saya meletakkan perkataan ‘Bagi’ kerana saya mahu orang ramai dapat merasai kenikmatan bersukan waktu malam di samping dapat menghirup udara segar dan bersih,” katanya kepada Peraktastic.

BRC ditubuhkan pada pertengahan tahun 2021 dan kini disertai lebih 30 orang ahli yang terdiri dari peringkat remaja dan dewasa. Beberapa acara telah dianjurkan sepanjang tahun 2021 dan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Menurut Amnan Osman lagi, hala tuju penubuhan BRC ialah untuk menjadikan sukan larian malam ini sebagai satu budaya gaya hidup sihat disamping dapat menerokai bandaraya Ipoh yang bergemerlapan dengan cahaya lampu yang berwarna warni.

“Larian malam dilakukan setiap malam hari Jumaat, namun kini kami lakukan hampir setiap malam menyikut kata sepakat ahli-ahli kumpulan. Ia bermula 8.30 malam dan jarak larian ialah anggaran sejauh enam hingga sepuluh kilometer.

“Larian kami bermula dari Padang Ipoh menyusuri pekan lama menuju ke Air Pancut Bulatan Sultan Yussuf dan berakhir semula ke Padang Ipoh. Setiap peserta diwajibkan memakai pakaian cerah dan lampu keselamatan.

“Paling mengembirakan ada dikalangan ahli kami yang datang dari Pulang Pinang semata-mata untuk menyertai larian disamping keesokan hari nya mereka melancong kebeberapa lokasi menarik di sekitar bandaraya Ipoh. Perancangan tahun 2022, BRC akan menganjurkan kempen larian kesihatan mental sebagai salah satu acara untuk komuniti,” ujarnya.

Kepada yang berminat untuk menyertai larian malam ini bolehlah menghubungi Amnan Osman di talian 019 449 690 atau boleh melayari laman sesawang www.bagievent.com untuk mengetahui acara bakal dilangsungkan, laman sosial twitter bagiruanghq dan Instagram bagirunclub.