IPOH - Seramai 40,300 penerima telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak di Perak Community Specialist Hospital (PCSH) sejak Mei tahun lalu.

PCSH juga merupakan hospital swasta pertama di Perak diberikan status sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi melancarkan proses vaksinasi umum.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Nicholas Chan berkata, pemberian suntikan dos penggalak pula telah dilaksanakan sejak November lalu.

Menurut beliau, setiap hari hospital tersebut mampu mengendalikan kira-kira 400 orang penerima yang hadir secara temujanji atau datang terus.

"Sebahagian besar daripada mereka yang datang mendapatkan dos penggalak adalah dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas khususnya golongan bekerja.

"Selain itu kelompok berusia 20-an juga ada datang mendapatkan suntikan dos penggalak serta remaja terutamanya dalam kategori berpenyakit kronik," ujarnya.

Beliau sebelum itu meninjau proses vaksinasi dos penggalak yang diterima sebahagian daripada petugas media negeri Perak yang merupakan kelompok barisan hadapan.

Mengulas lanjut kata Nicholas, berdasarkan pemerhatian pihaknya kini semakin ramai penerima tampil untuk mendapatkan suntikan dos penggalak berikutan langkah Kementerian Kesihatan mengurangkan tempoh masa menunggu setelah lengkap vaksinasi.

Katanya, ini merupakan perkembangan positif selain menunjukkan masyarakat peka pada situasi semasa.

"Selain itu, ia juga sebagai perlindungan pada imunisasi tubuh bagi mengelak jangkitan terhadap penularan varian baharu wabak Covid-19," ujarnya.