IPOH- Seramai 33 orang jemaah umrah dari Tanah Suci lega kerana dapat menjalani kuarantin di sebuah hotel di bandaraya Ipoh bermula 18 Januari 2022 lalu.

Muhammad Hafizi Zainal Abidin, 37, antara jemaah umrah yang berlepas ke Tanah Suci pada 6hb Januari 2022 lalu berkata tindakan pantas  kerajaan negeri menangani isu kuarantin memudahkan semua pihak.

"Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, begitu prihatin terhadap para jemaah khususnya yang bermastautin di negeri perak. Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan permasalahan rakyat berhubung isu kuarantin serta tidak membebankan.

"Dalam tempoh kuarantin kami dijaga rapi mengikut keperluan fasiliti bersesuaian dengan jemaah.

"Penanguhan sementara sektor pelancongan umrah oleh Kerajaan Malaysia diharap akan berakhir secepat mugkin. Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi sebenarnya sangat berkesan dan sistematik. Begitu juga pihak pengendali umrah, Alharamainglobal yang sentiasa memantau dan memastikan jemaah mematuhi SOP sehingga kami pulang ke tanah air ," katanya yang berasal dari Batu Gajah.

Sementara itu, Pengarah Operasi Alharamainglobal, Mohd Fadzli Azmi, mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, YB. Khairy Jamaluddin berhubung penangguhan sektor pelancongan umrah sedang dalam proses penilaian SOP.

"Saya berharap Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mampu memberi solusi terbaik khususnya berhubung garis masa pembukaan semula perjalanan serta memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini.

"Saya juga menaruh harapan penangguhan ini tidak lama kerana ia memberi impak besar kepada industri pelancongan umrah terutamanya pihak pengendali umrah, " ujarnya yang berpengalaman lapan tahun dalam urusan pengendalian umrah dan haji di negeri Perak.