Ipoh- Taman Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar atau lebih dikenali sebagai Taman Kanak-Kanak yang dulunya suram kini bertenaga semula sejak kemunculan Projek Light lanjutan program Art In The City.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata Projek Light merupakan suatu inisiatif untuk menghidupkan bandaraya Ipoh berkonsepkan seni, warisan dan budaya.

“Taman Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar telah dipilih sebagai tapak lokasi Projek Light oleh kerana reputasinya sebagai lokasi nostalgik bagi penduduk Ipoh sejak pembinaannya di era 70-an.

“Kerjasama antara Think City dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam membangunkan Projek Light ini menyuntik inspirasi bagi memulihkan sektor seni budaya pasca COVID-19 dan menyemarakkan kembali ekonomi kreatif negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Light Cendana di Taman Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar, di sini malam tadi

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud; Ahli Majlis MBI, Abu Bakar Haji Hussian; Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak, Pengerusi My Creative Ventures Sdn. Bhd., Noor Azmi Mat Said, dan Pengarah Program Think City Sdn Bhd, Daniel Lim.

Projek Light merupakan instalasi seni anak tempatan Liu Cheng Hua yang terpilih menjayakan projek bertajuk ‘Pride #3’ lanjutan daripada program Art In The City oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Think City.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata Pride #3' adalah hasil dari karya bersiri Liu “Pride of the Portrait” yang dimulakan pada tahun 2010 dan mengambil inspirasi menara-menara jam di Perak .

“Ipoh di antara lima bandar yang terpilih menjadi rakan kongsi di bawah program Art In The City 2021 pada bulan November lalu. Program dalam ranncangan untuk dilanjutkan sehingga akhir ke tahun ini. Kita mahu menjadikan Ipoh sebagai bandar seni yang boleh menggerakkan pengiat-pengiat seni dan seterusnya menjadi salah satu sektor pelancongan yang lebih baik.

“Sebanyak sembilan menara dipilih untuk instalasi menggunakan blok kaca dan lampu LED berkuasa 100% tenaga solar bagi mempamerkan lukisan digital menara-menara jam tersebut.

“Konsep ini adalah interpretasi Liu sebagai artis terhadap pengalaman dunia semasa pandemik COVID-19 iaitu masa ibarat telah dihentikan dan setiap orang berasa terperangkap. Namun begitu, sinaran cahaya melambangkan elemen yang dapat memberi panduan dan harapan kepada segala kehidupan,” ujarnya.

Art In The City telah berlangsung pada 14 Oktober sehingga 28 Disember 2021 lalu. Pelbagai program seni menarik telah berlangsung antaranya forum, kelas seni, dialog, pelancaran produk seni, festival dan pameran di bandaraya Kuala Lumpur dan di beberapa negeri seluruh negara. Ia juga merupakan antara usaha penting dalam Belanjawan 2021 di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).