Tanah Hitam - Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi  Baharin@Md Daud, mahukan masyarakat sentiasa mengamalkan kebersihan sebagai satu budaya awal dari rumah bagi melahirkan individu yang cintakan keindahan persekitaran.

Katanya, amalan penggunaan tong sampah perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga bandar demi meningkatkan kualiti persekitaran selaras dengan  matlamat yang disasarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Budaya menggantung sampah pada dahan pokok dan pagar perlulah dihentikan kerana ia memburukkan pandangan selain  menyukarkan kerja-kerja pungutan sampah yang memerlukan ketepatan masa.

“Penyediaan infrastruktur kebersihan oleh MBI tidak memadai sekiranya penduduk tidak melibatkan diri dalam soal pengurusan sampah yang bermula dari rumah.

“MBI ingin mendidik wargakota Ipoh ke arah membudayakan penjagaan alam sekitar dengan menjadikan Zon 1 sebagai zon contoh serta mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas mengagihkan sebanyak 480 unit tong sampah (120 liter) secara percuma di Kampung Baru Tanah Hitam sempena Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd. Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Kesihatan MBI, Encik S. Manisegaran. 

Sebelum ini sebanyak 12,369 unit tong sampah telah diagihkan oleh MBI di Bandar Baru Putra, Desa Pakatan, Bandar Baru Menglembu, Taman Buntong Ria, Taman Bersatu, Simpang Pulai, Taman Kelebang Jaya, Meru dan Manjoi bermula sejak Julai 2021. 

Manakala baki  100,000 unit tong sampah lagi akan diagihkan secara berperingkat di taman-taman perumahan lain dalam tempoh 5 tahun.

Rumaizi  Baharin mengingatkan, setiap tong sampah perlulah diletakkan di hadapan rumah seawal pagi mengikut jadual kutipan sampah yang ditetapkan.

“Sampah- sampah juga perlulah  dimasukkan ke dalam beg plastik yang sesuai untuk dikutip dan dilupuskan.

“MBI berharap wargakota Ipoh akan bersama-sama MBI dalam membudayakan penggunaan tong sampah seterusnya membantu memudahkan proses pelupusan sisa kediaman.