IPOH - Kerja-kerja membersihkan rumah penduduk mangsa ribut di Kampung Tawas dan Desa Sri Chepor, Ipoh, Perak diteruskan oleh sepasukan anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini

Kediaman penduduk ini antara yang mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut dan puting beliung pada Ahad lalu.

Menerusi Program Tangan Bersalaman itu, kerja gotong-royong turut dilakukan di Surau Al-Islahiah, Taman Tasek Damai yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dalaman surau.

Penduduk Tionghua yang menyambut Tahun Baharu Cina telah disantuni Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad apabila menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Hadir sama iKetua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.

Dalam pada itu Yahaya berkata, polis mengawasi keselamatan di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai yang terjejas akibat ribut bagi mengelak kejadian curi melibatkan besi, kabel dan zink.

Katanya, rondaan dijalankan sejak Ahad lalu melibatkan kereta peronda, unit rondaan bermotosikal (URB) dan kehadiran anggota dari balai berhampiran.

"Kita tidak menolak untuk berlaku kegiatan curi memandangkan masih terdapat barang seperti besi dan zink berselerak di kawasan tersebut.

"Setakat ini kita belum terima sebarang aduan berkaitan kecurian, begitu pun kawalan dan rondaan tetap dipertingkatkan.

"Besi dan zink-zink itupun boleh dikira berharga, jadi kita percaya ia mungkin akan dijadikan sasaran oleh-oleh pihak-pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan," katanya.