IPOH - Satu rakaman video seekor gajah merosakkan berek sebuah kem tentera dipercayai terletak di Kem Sri Banding, Gerik tular di media sosial sejak kelmarin.

Walaupun tidak pasti bila kejadian tersebut berlaku, tetapi ia dipercayai bukan rakaman lama berdasarkan corak pakaian celoreng yang dipakai anggota tentera pada video berkenaan.

Pada rakaman tersebut menunjukkan haiwan itu merosakkan beberapa peralatan menerusi luar tingkap sama ada berek atau sektor.

Video berdurasi 2.50 minit dan 1.11 minit itu telah menarik ribuan tontonan serta dikongsi pada banyak platform media sosial.

Gajah itu juga tidak takut atau beredar walau pun dibaling beberapa objek sebaliknya terus menyelongkar mencari makanan.

Sementara itu, memetik laporan media, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah kem tentera.

Katanya, gajah itu dikatakan menceroboh stor simpanan bekalan makanan di kem itu.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak pasti bila sebenarnya kejadian itu berlaku kerana ia kerap terjadi.

Difahamkan, Kem Sri Banding mempunyai pagar eletrik berikutan kejadian diceroboh gajah liar di kem itu telah berlaku sejak kem tersebut dibuka sekitar tahun 70an.

Malah, kawasan Hutan Belum, Temengor dan di sekitarnya memang menjadi habitat gajah dan pernah juga dilihat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa.

Bau makanan terutamanya yang masin selalunya menarik kehadiran gajah-gajah kerana dietnya boleh berubah.