TAIPING - Sebatang lagi pokok hujan-hujan berusia 135 tahun yang tumbang di Taman Tasik Taiping disebabkan kejadian ribut yang melanda Selasa lalu.

Berdasarkan laporan arborists bertauliah, Nik Ikmal Fathi, punca utama pokok tersebut tumbang adalah ketidakseimbangan struktur pokok yang telah condong.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam satu kenyataan memberitahu, keadaan diburukkan lagi dengan berlakunya ribut pada hari kejadian.

Menurut kenyataan itu, bagi mengutamakan keselamatan awam maka kawasan sekeliling pokok telah ditutup dengan pita keselamatan.

"Orang awam dinasihatkan tidak berbuat apa -apa di kawasan tersebut bagi mengelakkan kerosakan kekal kepada pokok yang tumbang.

"MPT akan memastikan pokok ini akan diselamatkan dengan kadar segera dan sebaik mungkin," ujar kenyataan tersebut.

Susulan kejadian itu, kerja-kerja pemulinan pokok dibuat termasuk menegakkan semula pokok.

Sebahagian dahan pokok pula akan dipangkas serta bahagian akar dan tanah akan dirawat.

Jelas kenyataan itu lagi, pemantauan dan selenggara untuk tempoh 12 bulan sehingga ianya pulih akan dilakukan.

"Sebagai langkah mengurangkan risiko, pokok-pokok lain juga yang berkeadaan serupa akan diberi perhatian

'Ini termasuk menyediakan sokongan penampan dalam masa terdekat dan rawatan akar juga akan dijalankan," ujar kenyataan itu.

Pada 1 Oktober tahun lalu, salah satu pokok Hujan-Hujan telah diisytiharkan secara rasmi mati kerana struktur dan akar penambatnya yang lemah.

Pokok berhampiran jeti Taman Tasik Taiping itu sebelum ini tumbang pada 20 Januari 2018 lalu akibat hujan lebat.