IPOH - Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan kompaun sesuka hati ekoran isu kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) lebih bertoleransi sementara satu jalan penyelesaian dicari.

Menurut beliau, pendekatan itu sebenarnya telah dilakukan kerana sedia maklum dengan kesukaran pengunjung yang mempunyai urusan di HRPB.

"Kita tidak menyaman sewenang-wenangnya, waktu kritikal atau puncak memang kita tidak saman.

"Namun, kita mengikut juga situasi yang mana jika kita melihat banyak petak kosong di dalam hospital dan orang masih parkir di luar, itu kita akan saman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Tasik Cermin Eco Park di Tasek Cermin pagi tadi.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Jelas Rumaizi, MBI juga menawarkan potongan 70 peratus pada mereka yang dikenakan kompaun sebagai langkah
penyelesaian jangka pendek.

"Kita juga akan mencari jalan termasuk bagaimana untuk menambah petak letak kenderaan," ujarnya.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, isu berkenaan juga sudah dibawa dan dibincangkan pada Mesyuarat Exco.

"Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan membuat pengumuman berkenaan parkir yang sedia ada di bangunan baharu," jelasnya.