IPOH - Seramai 3,100 pelajar daripada keluarga susah layak menerima bantuan persekolahan menerusi Program Seronok Ke Sekolah Tahun 2022 melibatkan peruntukan sebanyak RM465,000.

Program tersebut bertujuan meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi persekolahan akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini merupakan penganjuran kali kedua kerana program ini benar-benar berkesan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menurut beliau, pada tahun lalu jumlah penerima dan jumlah peruntukan adalah sama.

"Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengenalpasti penerima yang layak bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sehingga kini sebanyak 44 kawasan DUN telah selesai melaksanakan penyerahan bantuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Seronok ke Sekolah Tahun 2022 negeri Perak dan perasmian Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri Perak (Wanita Perak) di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Setiap penerima mendapat sepasang pakaian sekolah, kasut, stokin dan beg.

Dalam pada itu kata Menteri Besar, pembukaan pejabat baharu Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak atau dikenali sebagai Wanita Perak pula dapat melancarkan lagi peranan pertubuhan tersebut.

Ini kerana katanya, Wanita Perak adalah sebuah institusi knusus bagi menangani isu berkaitan pembangunan wanita, kebajikan masyarakat dan kesejahteraan sosial secara keseluruhan.

"Wanita Perak telah diluluskan penubuhannya oleh kerajaan negeri pada 1 Januari 2021 dan mempunyai enam teras perkhidmatan iaitu wanita dan keusahawanan, kesihatan, keselamatan, kepimpinan, kerohanian dan masyarakat lestari.

"Pejabat rasmi Wanita Perak telah bersedia untuk diduduki selepas kerja-kerja baikpulih dan ubahsuai pejabat dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

"Oleh yang demikian, orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan khidmat nasihat, maklumat, penerangan atau
apa saja yang berkaitan boleh datang ke sini," ujarnya.