IPOH - Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) melalui anak syarikatnya, Amanjaya TT5 Sdn. Bhd. memperkukuhkan usaha memelihara dan memulihara Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5).

Baru-baru ini MB Inc menjalin usahasama dengan ACF Industries (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat kejuruteraan marin bagi melaksanakan inisiatif tersebut.

Rakan usahasama ini bakal menyediakan perkhidmatan pemulihan, pembaharuan, dan penyelenggaraan Kapal Korek TT5 berusia 83 tahun yang terletak di bekas tapak lombong di Tanjung Tualang, Perak.

Inisiatif memelihara kapal korek yang merupakan salah satu tapak warisan Geopark di Lembah Kinta ini di mulakan dengan mesyuarat awal.

Ia telah ditemerai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Anuar Zainal Abidin dan Pengarah Urusan ACF Industries, Hamly Mohd Salleh serta disaksikan oleh Pengurus Amanjaya TT5 Sdn. Bhd, Shahrin Zainon.

Antara lain, kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dengan industri dan fakulti-fakulti kejuruteraan marin untuk tujuan penyelidikan, penghasilan dokumentasi SOP proses-proses pemuliharaan.

Ini juga termasuk merakamkan proses rektifikasi dan penyelengaraan.

Rakaman proses-proses pemuliharaan ini akan di buat secara bersiri dan diharap bakal dijadikan rujukan untuk telahan di pusat pengajian mahu pun di sekolah-sekolah.

Ini kerana, Kapal Korek TT5 adalah satu-satu nya kapal korek yang masih ada, lantas perlu direkodkan dengan baik agar terus terpelihara dan menjadi warisan negara.