Papan tanda informasi lengkapkan sejarah Jambatan Keretapi Victoria
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 1425
KUALA KANGSAR - Inisiatif untuk mengetengahkan dan memulihara sejarah tempatan terus diperkasakan menerusi usaha terbaharu iaitu memasang papan tanda informasi di Jambatan Keretapi Victoria.
Usaha ini dijayakan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaya (MHG) dan Persatuan Warisan Perak.
Pemasangan papan tanda tersebut bersempena dengan ulangtahun ke -122 Jambatan Keretapi Victoria.
Pengerusi MHG, Shaharom Ahmad berkata, inisiatif ini dapat memberikan impak kepada nilai sejarah Jambatan Victoria dan Pekan Karai.
Katanya, ini kerana lokasi tersebut berada dalam peta sejarah Pertempuran Perang Dunia Kedua di Perak dan di Malaysia.
"Jambatan Victoria ini diletupkan oleh tentera British pada tengah malam 22/23 Disember 1941 bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dari arah Kuala Kangsar menuju ke Ipoh.
"Kami juga memasang papan tanda 'marker' sempena dengan brosur Perak WW2 Heritage Trail di Jambatan Victoria dan Jambatan Iskandar," ujar beliau.
Sementara itu, Yang Dipertuan MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada MHG dan Persatuan Warisan Perak atas kerjasama yang diberikan.
"Pemasangan papan informasi sejarah Perang Dunia Kedua di Jambatan Victoria (Jambatan Enggor) memberi nilai tambah sejarah.
"Ini merupakan satu kesinambungan melestarikan warisan keretapi ini yang bermula sejak tujuh tahun iaitu dengan penubuhan Galeri Bersejarah Jambatan Victoria," ujarnya.