IPOH- Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, pastinya Gerbang Malam menjadi lokasi wajib bagi orang ramai untuk membeli-belah secara santai.

Salah seorang pengunjung yang enggan namanya dikenali berkata, Gebang Malam adalah ‘port’ yang meriah untuk dikunjungi oleh semua golongan dan peringkat usia.

“Gerbang Malam mempunyai ‘aura’ tersendiri terutamanya menjelang perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri. Pada saya, sekiranya tidak datang ke sini persiapan hari raya seumpama tidak sempurna kerana semua yang barang diperlukan terdapat di sini. Selain itu, di sini kita dapat rasakan suasana hari raya yang meriah terutama seminggu sebelum hari raya.

“Namun dalam keghairahan orang ramai yang berpusu-pusu ‘bershopping’raya di saat akhir, pengamalan Prosedur Operasi Standard (SOP) seharusnya diutamakan. Walaupun kita telah berada di fasa endemik, seharusnyalah kita mengutamakan keselamatan diri sendiri dan berwaspada dari penularan wabak Covid-19.

“Menerusi pemerhatian, ada dikalangan pengunjung terlepas pandang SOP kendiri disebabkan ghairah membeli belah, ini seharusnya tidak diabaikan”, katanya.

Sementara itu Persatuan Usahawan Gerbang Malam (PKUGM), Ahmad Irwan Othman berkata sememangnya menjelang hari raya Gerbang Malam menerima pengunjung lebih 10,000 orang setiap malam.

“Pihak persatuan telah mengadakan perbincangan bersama pihak penguasa kesihatan dan pihak keselamatan dalam memastikan keselamatan pengunjung terjamin dan mengamalkan SOP yang ditetapkan.

“Kita yakin dan beranggapan masyarakat kini semakin matang dalam pengurusan SOP secara kendiri. Ini kerana, kita telah melalui fasa pandemik lebih dua tahun dan pengamalan itu seharusnya menjadi disiplin untuk berwaspada.

“Selain mengamalkan SOP kendiri, orang ramai juga harus peka dengan kebersihan, apa yang dikesali kesedaran sivik terhadap pembuangan sampah masih berlarutan. Kami sentiasa memastikan para peniaga menjaga kebersihan premis peniagaan dengan menyediakan plastik sampah, namun tabiat segelintir pengunjung membuang sampah merata-rata amat dikesali . Tabiat buruk ini sebenarnya mencacatkan pemandangan dan merumitkan kelancaran kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)”, ujarnya sewaktu ditemubual pada pertengahan Ramadan baru-baru ini.