IPOH- Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Perak berlangsung dengan meriah yang kunjungi ribuan rakyat daripada pelbagai kaum dalam suasana muhibbah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perlaksanaan majlis itu sebagai tanda penghargaan kepada semua pasukan keselamatan, petugas barisan hadapan serta seluruh rakyat yang bersama-sama memainkan peranan ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Setelah dua tahun terpaksa mengharungi suasana suram Aidilfitri ekoran pandemik COVID-19, kita kini sudah memasuki fasa endemik yang membolehkan sekalian rakyat khususnya umat Islam merasai semula kemanisan dan keindahan Aidilfitri.

Kegembiraan yang dikecapi hari ini tidak datang secara kebetulan. Ia ditebus dan dibayar dengan tangisan, keringat, keletihan, kesakitan dan pengorbanan tatkala kita berdepan dengan hambatan bertali arus pandemik COVID-19.

Marilah bersama-sama menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang selama ini berjuang bersama memerangi pandemik COVID-19”, katanya menerusi ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini semalam.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majllis itu bersama-sama barisan exco kerajaan negeri.

Majlis berkenaan yang menyajikan pelbagai juadah hari raya antaranya lemang, rendang, sate, nasi impit dan kuih-muih.

Foto: Ehsan Bernama.